KETERANGAN ALBUM
Melalui
album pertama inilah, Siti mula mencipta kejayaan demi kejayaan dalam bidang
nyanyian. Album ini juga menyaksikan Siti menggondol anugerah Persembahan
Terbaik, Juara Kategori Balada dan Juara Lagu Muzik-muzik 1996 menerusi
lagu yang menjadi kegemaran ramai iaitu Jerat Percintaan. Bukan itu sahaja,
Anugerah Industri Muzik juga telah menobatkan Siti sebagai Penyanyi Wanita
Baru Terbaik dan lagu Jerat Percintaan dipilih sebagai Lagu Terbaik AIM
1997.
( Jerat Percintaan )
Album
kedua Siti yang diterbitkan pada 1997 ini masih bertajuk Siti Nurhaliza.
Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini memang sedap didengar seperti
Aku Cinta Padamu, Wajah Kekasih, Kesilapanku Keegoanmu, Demi Kasih Kita
dan Bisikan Asmara. Album ini agak istimewa kerana inilah pertama kali
Siti berduet bersama penyanyi berbangsa Cina iaitu Ciang Teng melalui lagu
Rindu Diantara Kita. Siti juga menyelitkan satu lagu bonus trak berbahasa
Inggeris yang bertajuk 'The Colour of My Life'. Vokal yang mantap dan lirik
yang berkesan dalam lagu Aku Cinta Padamu membawa Siti ke Muzik-muzik 1997
dan memenangi anugerah Persembahan Terbaik, Juara Kategori Balada dan Juara
Lagu 1997.( Aku Cinta Padamu )
Setelah
sekian lama hasrat untuk mengabadikan irama Melayu Asli tersemat di hati,
akhirnya lahirlah album ketiga Siti yang berjudul Cindai. Cindai membawa
maksud selendang. Album ketiga ini cukup besar ertinya pada Siti kerana
album ini mengenengahkan lagu-lagu Melayu tradisional seperti Cindai, Laksmana
Mati Dibunuh, Kaparinyo, Joget Pahang, Joget Berhibur dan Lela Manja. Tahun
1998 juga sekali lagi menyaksikan kemenangan Siti dengan membolot Juara
Lagu 98, Juara Irama Malaysia dan Juara Lagu Cindai.(
Cindai )
Gandingan
lagu pop dan sentimental menjadi pilihan Siti dalam albumnya yang keempat
iaitu Adiwarna.Album ini mengulangi kejayaan album-album yang lain dengan
memenangi Album Pop Terbaik , Album Terbaik dan Siti juga dianugerahkan
Vokal Wanita Terbaik dalam AIM 99. Siti telah menyertai Pertandingan Lagu
Antarabangsa Pasifik Selatan dan mendendangkan lagu Satu Cinta Dua Jiwa/We'll
Be As One. Usaha Siti berbaloi kerana anugerah Persembahan Vokal Wanita
Terbaik berada dalam genggamannya. Lagu yang didendangkannya pula diiktiraf
sebagai Lagu Pop Rock Terbaik. Bukan itu saja, untuk sekian kalinya Siti
muncul Juara Lagu 99 dan Juara Kategori Balada menerusi Purnama Merindu.
( Adiwarna )
Selepas
Seri Mersing, percubaan Siti menyanyikan lagu Melayu tradisional tidak
dipandang rendah. Setelah Cindai muncul, album terbitan khas ini pula menyusul
dengan mengekalkan konsep yang sama dan sambutan yang diterima juga amat
mengalakkan. Siti kembali memeriahkan persada muzik tanah air menerusi
album duetnya bersama penyanyi Noraniza Idris.
Gandingan mantap Siti dan Noraniza
ketika mendendangkan lagu Hati Kama yang dimuatkan dalam album Seri Balas
ini juga melayakkan mereka memenangi anugerah Album Pop Etnik Terbaik dan
Album Terbaik AIM 2000. AIM 2000 merupakan kenangan paling manis buat Siti
kerana berjaya merangkul hadiah Vokal Wanita Terbaik dan Anugerah Kembara.
Susunan muzik Hati Kama cukup indah dan penuh keistimewaan yang tersendiri.
Album ini juga mendapat pengiktirafan oleh RIM sebagai Pencapaian Album
Melayu Terbaik 1999.( Seri Balas )
Lagu-lagu
yang menjadi siulan anak-anak muda dalam album kelima Siti ini ialah Nian
di Hati, Engkau Bagaikan Permata dan Kau Kekasihku. Lagu-lagu ini menjadi
hit di stesen-stesen radio dan carta lagu RIM. Dalam album ini, Siti masih
mendapatkan khidmat komposer terkenal seperti Adnan Abu Hassan, Azmeer
dan Helen Yap. Seperti yang telah dijangka, Juara lagu 2000 masih menjadi
milik penyanyi terkenal ini dan lagu 'berhantu' Kau Kekasihku diiktiraf
Juara Kategori Balada. Lagu Nian Di Hati turut terpilih ke Juara Lagu 2000
dalam kategori Balada.
( Pancawarna )
Sahmura
adalah sebuah album yang berkonsepkan pop trsdisional. Album ini merupakan
'permulaan untuk seribu tahun lagi' kerana ianya memasuki pasaran pada
hari pertama di tahun 2000. Album Sahmura lahir bagi menyambung khazanah
seni budaya kita supaya tidak mati ditelan zaman. Sahmura memberi maksud
permata yang berkilauan. Album ini memuatkan 10 buah lagu-lagu ciptaan
terbaru.
Antara lagu-lagu yang menarik perhatian para pendegar ialah Balqis, Ya Maulai, Canggai dan Joget Kasih Tak Sudah. Album ini berjaya memenangi Juara Kategori Etnik Kreatif dan Juara Lagu 2000. Dalam Anugerah Planet Muzik 2000 yang berlangsung di Singapura, Siti telah mengharumkan nama negara kerana diberi penghormatan sebagai Artis Wanita Terbaik, Artis Wanita Paling Popular dan Balqis muncul sebagai Lagu Paling Popular.( Sahmura )
Kejayaan
konsert solo pertama Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Putra,
Bukit Jalil pada 30 Oktober 2000 bukan sahaja meninggalkan kenangan manis
buat diri Siti malah turut memberi kesan yang mendalam kepada para peminatnya.
Kejayaan konsert sulung Siti itu juga telah diabadikan oleh SRC dalam bentuk
audio dan visual dengan menerbitkan kaset, CD dan VCD.
Para peminat boleh menikmati sebanyak 26 buah lagu nyanyian Siti semasa konsertnya dan sebuah lagu bonus iaitu lagu Walinong Sari. Selain diselitkan lagu-lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang telah dinyanyikan semula oleh Siti, peminat juga boleh mendengar sedikit ucapan dialog Siti sewaktu persembahan konsert.( Konsert Live Siti Nurhalliza )
Album
ini adalah himpunan lagu-lagu terbaik nyanyian Siti menerusi album-albumnya
sebelum ini serta memuatkan 2 buah lagu baru iaitu Di Taman Syahdu dan
Gelora Kasih. ( The Best Of Siti Nurhaliza
)
Baru-baru
ini, Tan Sri Datuk S.M Salim telah mengadakan persembahan istimewa bersama
artis undangannya, Siti Nurhaliza di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Konsert yang dikendalikan oleh Ramli M.S. ini adalah kerjasama DFP dan
Warner Music. Peluang dipanggil membuat persembahan bersama dengan bintang
veteran, Tan Sri Datuk S. M Salim merupakan satu tuah kerana Siti sudah
lama menyimpan hasrat untuk berduet dengan ‘orang lama’ seperti Tan Sri
Datuk S.M Salim.
Dalam konsert yang berlangsung selama
dua jam itu, Siti berduet dengan Tan Sri Datuk S.M Salim menerusi lagu
Pandang-pandang Jeling-jeling dan secara solo Siti memilih lagu yang pernah
dipopularkan Tan Sri iaitu Ku Bermohon Kasih. Pihak Warner Music telah
abadikan konsert itu dalam bentuk kaset dan CD.
Album
terbaru Siti ini dilancarkan pada 11 Januari 2001 bersempena sambutan hari
jadi Siti yang ke-22. Web team turut terlibat merakamkan siaran secara
langsung pelancaran album tersebut dari Golden Palace Hotel. Siti sempat
membaca ucapan daripada peminat-peminat dan bergambar bersama-sama kiriman
bunga yang dibuat melalui laman web ini. Terdapat 10 lagu terbaru dari
album SAFA yang dihasilkan oleh pencipta-pencipta lagu terkenal di Malaysia.
SAFA- yang bermaksud putih bersih bersamaan dengan keperibadian dan imej yang dapat ditonjolkan oleh penyanyi yang penuh sopan ini iaitu SITI NURHALIZA. Album terbaru yang dihasilkan ini merupakan album pop yang ke lima dan merupakan album solonya yang ke tujuh selain daripada dua album Melayu Asli iaitu Cindai dan Sahmura. Judul album SAFA dipilih berdasarkan keikhlasan dan ketulusan Siti dalam mengharungi dunia hiburan setelah lima tahun bergelar penyanyi. Dapatkan album terbaru Siti yang asli di kedai berhampiran.( Safa )
©Copyright by Firdaus Anuar 2000-2001